Persoalan dan Hukum Berkaitan Mendirikan Solat Atas Kerusi
Pendahuluan
Suatu perkara yang sering kita jumpa pada masa kini apabila ke masjid untuk menunaikan solat jumaat atau solat fardu, seseorang yang turun dari kenderaan, berjalan naik ke masjid dan nampak sihat tetapi apabila ingin menunaikan solat jumaat atau fardu mereka menunaikannya di atas kerusi.Saya terfikir dan saya rasa saudara juga terfikir adakah mereka tidak boleh berdiri langsung atau boleh berdiri cuma bukan dalam masa yang lama.Menunaikan solat dalam keadaan berdiri,rukuk, sujud mengikut ketetapannya merupakan rukun solat yang tak boleh ditingggalkan kecuali dalam keadaan keuzuran.Apabila adanya sedikit keuzuran ia bukanlah tiket untuk meninggalkan kesemua rukun yang diwajibkan.
Kertas kerja ini hasil tulisan yang saya terjemahkan untuk perkongsian maklumat bagi pembaca yang tidak berkemampuan untuk membaca teks asal dalam bahsa arab semoga ia memberi manfaat kepada kita bersama.
بسم الله الرحمن الرحيم
1.0 Muqaddimah
Mengangkat kesukaran dan mengelakkan mashaqqah adalah salah satu daripada kaedah syarak.Ia merupakan satu dasar yang tetap daripada dasar-dasar syariat Islam yang bersifat toleransi. Mashaqqah sebagaimana yang diketahui umum membawa kepada kemudahan.dan kesenangan. Berdasarkan asas ini, seseorang yang mendirikan sembahyang apabila tidak mampu untuk melakukan kesemua rukun atau sebahagian rukun tersebut sebagaimana yang diwajibkan maka akan gugurlah apa yang tidak mampu tersebut. Dia dibenarkan untuk melaksanakan mengikut keadaannya dan kadar kemampuannya, Syeikh Islam Ibn Taimiyyah pernah berkata “telah bersepakat kaum muslimin sesiapa yang tidak mampu melakukan sebahagian daripada kewajipan-kewajipan solat seperti berdiri, membaca ayat-ayat tertentu, rukuk, sujud ,menutup aurat, mengadap kiblat atau lain-lain kewajipan maka gugurlah apa yang tidak mampu dilakukan tersebut.
2.0 Dhabit Keuzuran
Walaupun demikian perlu difahami bahawa bukan setiap mashaqqah atau keuzuran yang menimpa akan menggurkan rukun-rukan dalam solat. Pertimbangan dalam menggugurkan kewajipan tersebut ialah, apabila melakukan rukun tersebut akan menyebabkan kesukaran yang melampau atau boleh menyebabkan bertambahnya kesakitan yang sedia ada. Menurut Imam Nawawi ‘telah berkata ashab al-Shafie, tidak disyaratkan dalam menentukan keuzuran dia tidak boleh berdiri dan tidak juga dianggap mashaqqah dengan hanya sedikit kesukaran bahkan yang dikira mashaqqah ialah masyahqqah yang jelas dan nyata .
3.0 Keuzuran Yang Menggurkan Kewajipan
Imam al-Shaukani menyebut “yang dikategorikaan tidak mampu dalam mazhab shafie ialah adanya mashaqqah atau adanya kebimbangan akan bertambahnya sakit atau takut binasa bukan sekadar sakit biasa . Ibn Usaimin pula berpendapat dalam menentukan tahap mashaqqah ialah dengan adanya kesukaran tersebut boleh menghilangkan kekhusukan yang dimaksudkan dengan khusuk disini ialah hadirnya hati serta mendapat ketenangan.
Sesungguhnya telah berlaku ijmak dikalangan ahli ilmu ‘ bahawa sesiapa yang mendirikan sembahyang fardu dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu untuk berdiri, maka solatnya terbatal. Ketetapan ini adalah berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah yang bermaksud “peliharalah segala solat(mu) dan (peliharalah) solat wusta .berdirilah kerana Allah dalam solatmu) dengan khusuk. . Juga berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w “Tunaikan solat dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu maka duduklah sekiranya tidak mampu maka mengiringlah”.
4.0 Keadaan Orang Yang sembahyang Duduk
Orang yang mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk situasinya sebagimana berikut :
4.1 Situasi Pertama
Tdak mampu untuk berdiri walaupun sekejap serta tidak mampu untuk rukuk, sujud sebagaimana yang dikehendakinya. Dalam situasi ini hendaklah dia menunaikan sembahyang dalam keadaan duduk sebagaima yang dijelaskan oleh Rasulullah s.aw “Sembahyanglah dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu hendaklah duduk” dan hendaklah ia mengiring untuk rukuk dan sujud hendaklah dia rendahkan sujud melebehi rukuknya.
4.2 Situasi Kedua
Mampu untuk berdiri beberapa ketika tetapi tidaklah mendatangkan kesukaran yang terlampau baginya atau tidak menambahkan lagi beban penyakit yang sedia ada. Dalam keadaan ini dia hendaklah sembahyang dalam keadaan berdiri mengikur kemampuannya apabila menimbulkan kesukaran maka dibolehkan untuknya duduk. Firman Allah dalam surah al-Tagabun ayat 16 yang membawa maksud “bertaqawalah kamu kepada Allah mengikut kemampuan kamu”. Al-Sa’di ketika menghuraikan ayat di atas berkata “Ayat ini menjadi bukti bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seseorang hamba akan gugur kewajipan tersebut. Apabila ia mampu melakukan sebahagian dari kewajipan tersebut dan tidak mampu sebahagian lagi maka hendaklah dia menunaikan sebahagian kewajipan yang mampu tersebut.. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda “ Apabila kamu diperintahkan dengan sesuatu maka hendaklah kamu melakukan mengikut kemampuan kamu” kemudian selepas itu hendaklah kamu rukuk dalam keadaan berdiri dan sujud ditempatnya.
4.3 Situasi Ketiga
Sekiranya berdiri akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat atau bertambah teruk kesakitannya. Dalam situasi ini hendaklah dia mendirikan solat dalam keadaan duduk. Memetik penjelasan yang dibuat oleh Syeikh Usaimin “sekiranya dia mengagahkan diri untuk berdiri dia tidak akan berdiri dengan tetap serta dirinya tidak berasa tenang, serta dia mengharapkan agar Fatihah dapat dihabiskan dengan segera supaya dapat rukuk disebabkan tidak dapat menanggung kesukaran tersebut, ini adalah suatu kesukaran yang membolehkannya untuk duduk .
Apa yang disebutkan tadi dengan syarat dia hendaklah melakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdiri kemudian barulah dibenarkan untuk duduk. Sekiranya dia melakukan takbiratul ihram dalam keadaan duduk solatnya tidak sah. Imam al-Nawawi berkata “ wajib melafazkan takbiratul ihram dengan kesemua hurufnya dalam keadaan berdiri, sekiranya salah satu huruf dilafazkan dalam itu, semasa dia dalam keadaan duduk maka solat fardunya tidak sah. Pendapat ini disepakiti oleh semua ulama. Kemudian selepas itu hendaklah dia rukuk dalam keadaan berdiri jika ada kemampuan kemudian bangkit dari rukuk dalam kedaan berdiri seterusnya melakukan sujud dilantai.
4.4 Situasi Keempat
Tidak mampu untuk rukuk mengikut ketetapannya tetapi mampu untuk berdiri. Dalam situasi ini tidak dibolehkan untuknya duduk serta tidak gugur kewajipannya qiam begitu juga tidak gugur ke atasnya untuk rukuk dalam keadaan berdiri, maka untuk rukuk hendaklah dia mengiring atau merendahkan kedudukannya ketika dalam keadaan berdiri. Ibn Qudamah berkata ‘sesiapa yang mampu untuk berdiri tetapi tidak mampu untuk rukuk dan sujud dalam keadaannya, kewajipan berdiri masih dikenakan. Oleh itu, hendaklah dia sembahyang dalam keadaan berdiri kemudian untuk rukuk hendaklah dia mengiring mengiring untuk rukuk, seterusnya sujud dilantai sekiranya mampu.
4.5 Situasi Kelima
Tidak mampu untuk sujud sebagaimana yang diperintahkan tetapi mampu untuk berdiri. Dalam situasi begini dia tidak harus duduk serta tidak gugur kewajipan qiam ke atasnya serta tidak gugur kewajipan rukuk dalam keadaan qiam, untuk sujud hendaklah dia duduk dan mengiringkan badannya.. Dalam hal ini Ibn Qudamah berkata sesiapa yang mampu untuk berdiri tetapi tidak mampu untuk rukuk atau sujud kewajipan qiam tidak gugur keatasnya, kemudian dia hendaklah duduk serta mengiring untuk sujud .
Hendaklah dia melakukan rukuk dalam keadaan berdiri mengikut keadaan yang diperintahkan sekiranya dia mampu untuk meletakkan tangan dilantai semasa sujud hendaklah dia melakukan sedemikian sekiranya tidak mampu hendaklah dia meletakkan atas kedua lututnya.
Ibn Baz berkata : Adapun sujud yang wajib dilakukan ialah dengan meletakkan kedua belah tangan dilantai dan sujud sekiranya mampu sekiranya tidak berkemampuan hendaklah dia sujud dengan meletakkan kedua belah tangan diatas kedua lututnya. Hal ini berdasarkan hadis Rasululaah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim “Aku menyuruh kamu untukl sujud di atas tujuh tulang iaitu dahi kemudian nabi tunjukkan dengan tangan baginda kearah hidung, kedua belah tangan, kedua lutut kedua hujung jari.,
5.0 Kedudukan Kerusi Dalam Saf
Kerusi yang digunakan oleh orang yang keuzuran ketika melakukan solat sama ada ;
5.1 Kedudukan Pertama
Orang yang mendirikan solat duduk sepanjang masa di atas kerusi tersebut. Dalam keadaan ini sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Usaimin hendaklah menjadikan kaki-kaki kerusi bahagian belakang selari dengan kaki-kaki makmum yang lain .
Juga hendaklah mengambil kira jenis kerusi yang didudukinya , yang mana punggungnya hendaklah bersebelahan dan selari dengan kaki orang lain tanpa mengambil kira kedudukan kaki kerusi sama ada terkedepn atau terkebelakang . Apa yang diambil kira kedudukan kaki ialah tumit belakang bagi yang berdiri, atau punggung yang duduk atau tepi atau sisi bagi yang berbaring.
5.2 Kedudukan Kedua
Orang yang mendirikan solat hanya duduk di atas kerusi di masa-masa tertentu sahaja sama ada ketika rukuk atau sujud bukan ketika berdiri. Dalam situasi ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Rahman al Barrak kedudukannya dalam saf semasa berdiri. Maka dalam situasi ini kerusi hendaklah berada dibelakang saf. Disamping itu hendaklah memerhatikan bahawa kerusi tersebut tidak akan mendatangkan masalah kepada makmun yang berada di belakangnya .
6.0 Penutup
Perbincangan yang disebutkan dan dijelaskan di atas berkaitan solat fardu . Adapaun solat sunat tuntutanya adalah luas Oleh itu tidak ada masalah untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk walaupun bukan dalam keuzuran tetapi perubatan tersubut meerupakan khilaf afdal. Sekiranya dlakukan dalam keadaan duduk ganjaranya separuh daripada melakukan dalam keadaan dengan berdiri Umran bin Husain yang ditimpa penyakit bawasir telah bertanya Rasulullah tentang lelaki yang mendirikan solat dalam keadaan duduk jawab Rasulullah “ sekiranya dia melakukan dalam keadaan berdiri itu lebih baik, sesiapa yang mendirikan solat dalam keadaan duduk dia akan memperolehi separuh ganjaran berbanding yang berdiri sesiapa yang solat dalam keadaan berbaring akan memperolehi separuh dari yang duduk. Yang dimaksudkan dengan solat dalam hadis di atas ialah solat sunat sebagaiman yang diisyaratkan oleh Ibn Battal dalam kitab syarah hadisnya.
Sekiranya dia melakukan solat dalam keadaan duduk disebabkan keuzuran maka pahala yang akan diperolehinya sama seperti solat dalam keadaan berdiri. Imam Nawawi berkata adapun jika dia melakukan solat sunat dalam keadaan duduk keraa tidak mampu untuk berdiri maka pahala yang diperolehi tidak akan berkurangan bahkan pahalanya seperti mereka yang melakukan dalam keadaan berdiri.
Penulis asal bahasa Arab ;
Abdul Rahman Jarullah al-ajami
Diterjemahkan :
Ustaz Wan Mohd Zul Bin Wan Yusuf
Polimas
22/4/2013
Orang Sakit - cara solat duduk atas kerusi
Saya terbaca satu artikel mengenai solat untuk orang sakit dan saya
teringin untuk kongsikan bersama anda semua. Artikel ini diambil dari
majalah 'FARDU AIN - EDISI KE 7'.
Bahagian Fiqh Amali (m/s 35) - Tulisan: Ustaz Haji Ahmad Baei Jaafar
Dua tiga kali juga saya memerhatikan seorang pegawai keselamatan di
sebuah hospital, solat dengan cara duduk sambil kaki kanannya
dilunjurkan ke hadapan. satu hari saya menegurnya: "Tuan, kenapa dengan
kaki tuan?" "Saya kemalangan dan dengan sebab itu saya tidak boleh lipat
kaki seperti biasa," jawabnya. Saya terus bertanya, "Tuan boleh
berjalan dengan baik tetapi mengapa tuan tidak boleh solat
berdiri?" Jawabnya mudah, "Kalau saya berdiri, sukar pula saya hendak
duduk semula."
Mungkin alasan itu boleh diterima dan caranya itu boleh memudahkan
urusan solatnya. Tetapi anda mungkin pernah bertemu dengan orang yang
solat duduk di atas kerusi. Dia bawa kerusi itu dari rumah, malah mampu
berjalan dengan baik. Setelah diletakkan kerusi itu, dia duduk dan
memulakkan takbir. Sepanjang empat rakaat Isyaknya, dia solat dalam
keadaan duduk. Adakah sah solatnya?
Mari kita lihat rukun solat iaitu rukun pertama, berdiri tegak dengan
tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap rukuk tanpa keuzuran
bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardu.
Berdasarkan rukun tersebut, perlu kita tanya mereka yang solat duduk
itu, adakah dia boleh berdiri? Dalam kes diatas, tentu kita tidak perlu
bertanya lagi kerana memang kita nampak dia boleh berjalan dengan baik.
Ertinya dia boleh berdiri lama. Jika rukun pertama sudah tidak dipatuhi,
bagaimana kedudukan solat itu?
Inilah perkara yang jarang diperhatikan oleh umat Islam. Kita tidak
nafikan amalan dalam Islam tidak membebankan umatnya. Perkara yang susah
akan dimudahkan jika perlu, rukhsah namanya. Tetapi rukhsah itu ada
syarat-syarat yang perlu dipatuhi.
Mari teliti cara solat yang betul bagi orang sakit sebegini:
- Untuk dua kes diatas, mereka hendaklah berdiri terlebih dahulu. Lakukan rukun tadbir, membaca al-Fatihah dan surah berikutnya dalam keadaan itu sehingga rukuk dan iktidal.
- Untuk sujud, duduklah diatas kerusi atau lunjurkan kaki ke hadapan bagi yang duduk diatas lantai. Kemudian tundukkan kepala ke hadapan setakat yang mampu. Bacalah bacaan dalam sujud seperti biasa. Kemudian duduk antara dua sujud dan lakukan sujud sekali lagi seperti yang pertama.
- Untuk rakaat yang kedua, berdiri semula bagi yang duduk diatas kerusi, tetapi bagi yang duduk berlunjur, bolehlah duduk dalam keadaan itu jika sukar untuk bangun semula.
- Ulangi pergerakkan itu sehingga selesai empat rakaat, iaitu salam.
Merujuk kepada mereka yang duduk berlunjur itu, ia bergantung kepada
kesihatan dan kemampuannya. Jika dia boleh bangun semula tanpa
mendatangkan apa-apa mudarat dan tidak mengganggu orang yang solat di
sebelahnya (solat jemaah), hendaklah dia bangun berdiri seperti orang
lain juga.
Walau bagaimanapun, bagi mereka dalam kes diatas, jika untuk duduk
berlunjur pun perlukan bantuan orang atau boleh mengganggu jemaah lain,
bolehlah dia duduk sepanjang solatnya walau dia boleh berjalan dengan
baik.
Perlu diingat juga, berdasarkan rukun diatas, hukum berdiri ini hanya
khusus untuk solat fardu sahaja. Ini bermakna untuk sembahyang sunat,
berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya adalah sunat. Jadi,
jika mampu solat berdiri, lakukan dengan berdiri.
Bagi mereka yang terus duduk, rukuknya hendaklah dengan menundukkan
kepala ke hadapan sedikit dan bacalah bacaan dalam rukuk sebagaimana
biasa. Cara ini hendaklah dibezakan dengan sujud yang tunduknya sampai
ke tahap yang paling rendah yang dia mampu.
Adalah diharapkan umat Islam dalam keuzuran ini dapat memberi perhatian
terhadap solat agar dilakukan dengan sempurna menurut kaedah yang betul.
Ingatlah kalau solat tidak sah, ibadah yang lain boleh jadi tiada
nilaiannya di sisi Allah. Selamat mencuba yang terbaik untuk Allah.
No comments:
Post a Comment